Dalam kalut menyalut memasung diri
Terpinga-pinga, hati membungkam sepi
Ingin saja amarah meledak berapi-api
Hanya air suci bisa mengawal diri
Tangan menadah memohon pada-Nya
Merafak sembah Yang Esa
Agar ku tetap utuh dengan agama-Nya
Biar palitan dosa berjela
Aku tahu, hanya Dia
Hanya Dia Segalanya..
Aku berserah, bertawakkal...
Salam...
Moga semua mendapat keredhaan dari-Nya.
Mahu buang apa ya?..aku mahu buang jauh segenap rasa yang kurang menyenangkan itu. Aku benci bila ia bertandang tanpa diundang dan aku tahu ianya membebankan, menyakitkan, menghuru-harakan dan menegatifkan seluruh panca indera aku. Aku bakal berhadapan dengan ketidakstabilan emosi kala ianya berlaku namun, pernahkah?
Ya Allah, aku selalu meletakkan Dikau jauh kala aku 'senang' dan aku mencari Mu biar ke merata pelusuk kala aku 'susah'. Manusia jenis apa aku ni ya? Sedikit sebanyak malu kian menebal kepadaMu. Siapalah aku jika hendak dibandingkan dengan para sahabat yang tiada sekelumit rasa 'besar' kala mereka senang. Tiada tempat untuk aku jika diletakkan dalam golongan itu.
Mengapa wujud rasa-rasa yang bisa membunuhku ini. Perit, sakit usah dikata. Aku tak suka. Aku mahu buang ia jauh-jauh agar ia tidak bisa cari jalan pulang untuk mencariku. Aku tak mahu rasa itu, aku mahu rasa yang indah sahaja sebagaimana indahnya Islam ini. Cukup indah dan menenangkan, tapi aku tetap leka dengan belaian manja itu. Aku berhenti seketika menikmati indahnya Islam kerna belaian itu. Aduh.. Lemahnya aku.
Aku mahu buang dan terus buang ia! Tapi bagaimana?...
Salam...
Sedikit input berguna yang diterima dari seorang sahabat;
Petua Mencuci Hati oleh Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah
1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a - Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"
2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur - Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.
3. Solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.
4. Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.
5. Berma'af-ma'afan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan.
6. Bisikan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakan lah "Aku sebenarnya......(perkara yang elok-elok belaka)
7. Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya.
8. Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.
9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila- bila masa).
10. Kekalkan wuduk.
11. Bersedekah.
12. Belanja orang makan.
13. Jaga makanan - jangan makan makanan yang subhat.
14. Berkawan dengan ulama.
15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi).
16. Pesan pada orang, jadi baik.
17. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut...dsb), jangan dengar orang mengumpat.
Masya Allah...kebanyakan perkara di atas sudah menjadi sebahagian dari hidup kita. Tidak mustahil hati-hati kita kian rosak dan lemah. Semoga dengan sedikit input pada petang yang mulia ini, kita dapat sama-sama memajukan diri bagi menjadi ummah yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Insya Allah...