Gatal tangan
| More
Aduh...

Sementara menunggu ketibaan adikku, Anap, aku pun mula la berlayar dan terus berlayar di ruang maya. Mencari bukan, sekadar teringat sesuatu yang pernah aku tahu suatu ketika dahulu. Sesuatu yang cukup biasa denganku. Dan mungkin sesuatu yang aku sengaja cari dan aku terima rasanya.

Aku punya pelbagai kenangan dan aku pasti kalian juga demikian. Akibat gatal tangan, makanya aku terima jua 'kesan gatal sehingga sakit' sewaktu pelayaran yang sebentar itu. Lalu tergerak untuk berkongsi dengan kalian pengalaman barang secebis itu.

Sekitar tahun 2004 hingga 2005, aku kirakan kehidupan sangat menyeronokkan dan aku berada dalam suatu suasana yang baru yang tak pernah aku jangka. Aku tak menjangka untuk berada di tahap itu pada usia yang demikian dan aku tak menjangka hasil keputusan yang aku lakukan waktu itu. Yang pasti, pengalaman baru itu sedikit sebanyak membentuk peribadi aku kini. Mungkin banyak berbeza berbanding aku lima tahun sebelum tahun itu.

Antara hasil gatal tangan itu, aku mohon izin dari kamu kerna aku ambilnya dari kamu. Harap kamu faham. :)


Sewaktu program kebajikan di Masjid Negara, tapi lain jadinya..rindu kalian semua. Tak sangka kak Has ada dalam gambar ni..kalau tak silap sedikit tangan itu milik en Hafidzan kot.
Di dalam gambar, dari kiri: Cik Dalila, kawan Cik Azlyana, Cik Azlyana, En Zulfadhli, duduk: Kak Has, Cik Azzah, Kak Lia, Kak Tie dan Nasrol. Apa cerita kalian ya?...




Sewaktu kursus pemantapan aktiviti melibatkan PMUKM, Felo dan JAKSA di Tiara Beach Resort. Seronok! Di dalam gambar: Kak Yat, Cik Kiah (oopss!), Marya, Farahida (anak buahku), En Afihan (Bos), alahai lupa Chinese berdua tu...


Selesai majlis kursus pemantapan tu..turut serta dalam gambar En Anep (bekas ketua felo tu)..

Demikianlah hasil gatal tangan aku semasa berada di restoran pada hari Sabtu yang agak bosan walau ku tahu banyak kerja yang perlu diselesaikan. Isi borang itu dan ini. Aduh..

Mahu kembali kepada borang-borang itu..
:)

Daa~!!
Aku kini..
| More
Salam pemula bicara..

Semoga segalanya baik dan indah-indah saja. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerna dengan izin dan limpah kurnianya dapat lagi aku menuturkan barang sepatah dua untuk tatapan dan perkongsian bersama. Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur daku rafa'kan kepada-Nya atas pelbagai nikmat yang hadir mencurah-curah, atas setiap dorongan dan panduan yang bisa memudahkan aku dalam penghidupanku kini.

Sebagaimana sebelum ini, aku menjanjikan untuk memuat naik gambar-gambar restoranku yang terkini, aku akan berusaha pada entri ini jika talian jalur lebar ini membenarkan. (ingat, nama je jalur lebar, tapi...) Sepanjang lebih kurang tiga minggu kepulangan aku ke kampung halaman, aku dapat rasakan banyak perbezaan dengan keadaan aku kini yang lebih terfokus dan aku perlu memikul tiap tanggungjawab yang telah diamanahkan. Dalam aspek pengurusan, ianya bukan sesuatu yang mudah andai kita tahu tafsirannya. Penat lelah mengusahakan penubuhan restoran ini, akan aku pastikan berbaloi. Semoga setiap darinya mendapat keredhaan-Nya. Insya Allah.

Kaunter hidangan (yang terkini?..datang tengok ye)

Ruang penyediaan minuman (juga seperti di atas, kini jauh berbeza..)

Ruang makan-makan :)

Mahu yang lain? Dijemput ke restoran ini. Insya Allah mula dibuka dua puluh enam Januari dua ribu sembilan. Alamatnya:

Restoran Nasi Daging Herba (NDH)
N0. 6, Persiaran Seksyen 4/8
Bandar Putra Bertam
13200 Kepala Batas
Pulau Pinang

Jemput semua hadir ya. Insya Allah, perasmian akan diadakan pada masa yang akan ditentukan kemudian. :)

Sekian..
Wassalam..
Coretan sahaja - bahagian dua
| More
Salam pemula bicara..

Terima kasih kepada mereka yang tidak jemu-jemu mengungjungi laman blog ini. Aku kini tidak punya banyak keluangan untuk aku kongsikan bersama laman ini. Keputusan yang aku ambil suatu masa dulu memerlukan pengorbanan yang besar termasuklah untuk bersama dengan kalian semua.

Cuma aku mengharapkan doa dan sokongan dari kalian untuk aku terus berjaya. Insya Allah. Aku juga mengharapkan agar kalian sentiasa dirahmati dan berjaya dalam apa jua bidang yang kalian ceburi. Sampai masanya nanti, aku akan mengalu-alukan kalian hadir ke 'kawasan'ku ini.
:)

Terima kasih semua..

p/s: sekadar mencoret sedikit ini pun, sudah memerlukan aku bersembunyi seketika.. :p
Buang Undi
| More
Selamat mengundi adik-adikku di kampus. Pastikan pilihan yang tepat! Ingat sumbangan undi kamu untuk membantu kamu di masa hadapan. Jangan lupa khabarkan berita mengenai keputusan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar nanti ya!..

*teringat suatu ketika dahulu melaungkan ucapan "..undilah calon anda nombor sepuluh.."

*semoga kejayaan pengundian pada hari esok di Parlimen Kuala Terengganu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak memikul tanggungjawab. Semoga Allah merahmati negara kita. Amin..
.
Pasti
| More
Bila segalanya tampak pasti, kita kian yakin akan mendapatnya. Namun, siapa sangka mentari terik menyinar di pagi hari, awan mendung berarak megah meluput segala yang dimiliki. Moga kita mampu melihat mendung berarak lalu umpama rahmat yang sentiasa didamba buat menampung lopak-lopak dalam diri.

Aku jua adakalanya dilanda pelbagai gundah gulana sehingga mengundang perkara-perkara tiada diduga berlaku. Semoga kita semua tabah tika menghadapi tiap yang menduga.

Untuk seketika, kita merasa biarlah segalanya berlalu mengikut alunannya yang tersendiri namun, adakalanya alunan yang dimainkan tidak digemari, memerlukan perubahan irama agar sentiasa dirasakan indah dan mengasyikkan. Ayuh! Berusaha untuk berubah. Mengapa perlu berubah? Tepuk dada, bertanyalah dan cari jawapannya.

p/s: ayuh, terus memboikot sahabat-sahabatku. aku masih terasa tiap cebisan yang ku mamah, tiap titisan yang ku guna; membantu melampiaskan nafsu rakus dan kejam puak Zionis terhadap saudara-saudara kita. :(
Coretan sahaja - bahagian satu
| More
Syukur, alhamdulillah. Walau dikekang dengan hambatan masa yang tak menentu dek tugas-tugas yang muncul mendadak, aku akan berusaha untuk mengkhabarkan keadaanku di sini. Semalam, hampir enam jam aku di restoran, menjalankan temuduga untuk mengambil bakal-bakal pekerja yang akan sama-sama menentukan jatuh bangun restoranku. Aku mengharapkan mereka berkongsi matlamat dan cita-cita yang sama dengan aku dan keluargaku. Insya Allah..

Pada sebelah petang, aku sekeluarga ke Kangar, Perlis. Lebih tepat lagi, Kolej Kediaman Pelajar Unimap di Bintong. Menghantar adikku, Ahnaf @ Anap ke sana. Perjalanan agak jauh dan memenatkan tambahan aku yang memandu. Aduh! Tapi tak mengapa, sudah menjadi tanggungjawab tika berada di rumah. Namun, perjalanan jauh ketika pulang aku serikan dengan adegan kejar-mengejar kereta lain. Bukan niat berlumba, cuma menghilangkan rasa bosan tatkala yang lainnya meninggalkan aku untuk mengejar indah alam mimpi itu. (kira berlumba juga kah?.. hehe)

Tiba di rumah, sudah hampir sebelas setengah malam. Mata agak pedih, tetapi ada sesuatu yang mampu menghilangkan semuanya. Ya, perlawanan bola sepak antara Manchester United menentang Chelsea. Ternyata tidak menghampakan apabila kemenangan selesa ke atas Chelsea diperoleh menerusi jaringan oleh Nemanja Vidic, Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov. Seronok. Terubat kepenatan seketika. (peminat Chelsea, usah bersedih walau itu kekalahan terburuk yang pernah dialami setelah beberapa ketika ya!)

Semoga segalanya baik-baik belaka. :)

Di penghujung coretan ini, ingin aku bertanya (khusus kepada pengunjung wanita sahaja). Sekiranya ada yang berminat untuk mendapatkan barangan tangan kedua, aku mahukan respon kalian. Ada yang berminat? Barangan yang mungkin ada seperti kasut (saiz mungkin 7 @ 7.5), seluar dan bag. Jika ada, sila tinggalkan pesanan di ruangan komen atau terus sahaja menghantar ke kosong satu dua - empat sembilan satu lapan empat lapan lima. Terima kasih. :)

Sekian, wassalam.

p/s: usah ditanya dari mana asalnya barangan itu, cuma yang pasti ianya halal..tiada urusniaga cilok-cilok. Gambar akan ku beri sekiranya ada respon dari kalian (sekali lagi: golongan wanita).
Terkini: Senarai Untuk-Dibuat (Januari 2009)
| More
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Aku kini di kediaman rasmi milik En. Muhammad Pauzi Abdullah dan Pn. Salahiah Daman. Tiba daku bersama Mini Cooper Malaysia itu pada jam 7.45 pagi setelah mengharungi perjalanan lebih 4 jam. Perjalanan yang aku rasakan membosankan, sekali-sekala mengerikan saat tiba di kawasan yang gelap dan paling penting, aku dihimpit keinginan untuk melelapkan mata.

Ramai tertanya-tanya mengapa aku tetap gagahkan untuk pulang di awal pagi saat orang lain enak diulit mimpi, diapit bantal yang lembut dan mulus, dibalut indah selimut yang tebal memungkinkan diri terlepas dari menunaikan tanggungjawab padaNya. Aku rasakan, andai aku bertolak pagi, mungkin lebih berat untuk aku memulakan perjalanan tika mereka berjaga. Maka, saat mereka tidur aku pulang. Maaf, insya Allah kita berjumpa di lain masa.

Menjurus kepada tujuan entri kali ini, terkini mengenai senaraiku (entri ini). Beberapa perkara telah aku selesaikan dengan izinNya. Ya, empat daripada perkara di dalam senarai itu telah aku tunaikan. Perkara satu, dua, tiga dan tujuh. Aku sedikit lega dan berpuas hati dengan pencapaian ini. Masih ada tiga yang perlu aku langsaikan. Ya Allah! Bantulah aku, kuatkan diriku dan permudahkan daku dalam urusanku.

Cik Lisa juga merujuk Mini Cooper Malaysia itu sudah sihat. Kini aku juga mudah melakukan panggilan tanpa diikat risau kehabisan credit. Terima kasih kepada Maxis cawangan di Alamanda, Putrajaya.

Aku rasa, aku adalah aku kini. Kamu faham? Aku pun seakan tidak. ;)
Aku pulang..
| More
Alhamdulillah. Penat, keringat membasahi tubuh walau dingin malam cuba menerpa tiap bahagian kulitku memungkinkan aku membatalkan hasrat. Namun, aku perlu akur dengan ketentuan itu. Aku akan terus kekal, utuh bersama keputusan itu.

Selesai aku berkemas, bersiap untuk pulang ke kampung halaman mengharap ada senyuman tika aku tiba nanti. Ayah, mama..aku pulang!

Terima kasih buat semua di kampus perbukitan Bangi ini khusus buat semua di kolej kediamanku. Aku pasti akan pulang semula. Ku harap kalian teruskan apa yang dirancangkan dan berbincanglah jika buntu di pertengahannya. Mahu berbicara, insya Allah aku lapang walau jauh dari kalian.

Aku meneruskan perjalananku menggapai impianku...
Sedikit masa lagi..
| More
Alhamdulillah. Masih diberi peluang olehNya. Untuk kebanyakan masa pada hari ini, aku sekadar berada di ruang lingkup keselesaan aku. Keluar sebentar memenuhi tanggungjawab mengimarah sahabat seperjuangan suatu masa dahulu, En Hafidzan yang hadir ke kampus tanpa diduga. Kebetulan juga hari ini merupakan hari penamaan calon bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk sesi ini. Seketika perbukitan ilmu ini gamat dengan sorak dan jerit dari pihak-pihak terlibat melaungkan pelbagai slogan dan menyatakan hasrat.

Aku liat-liat menyiapkan diri untuk berjumpanya. (maklumlah, semalaman berjaga mahu menonton rancangan bola sepak) Kami memeriahkan suasana di Pusanika (Pusar kegiatan pelajar), pergi makan sebentar bersama En. Mike juga. Seusai makan, kami melihat-lihat gelagat pelajar dan calon-calon yang terlibat. Jauh berbeza dengan situasi dahulu. Teringat kenangan di masa lalu. Meriah walaupun hati kecut sekali-sekala.

Kami pulang semula ke kolej kediaman tengaharinya. Aku masih berkira-kira untuk berkemas walau dihambat masa untuk pulang ke kampung halaman. Walau apa jua keadaannya, aku tetap akan pulang. Keputusan telah dibuat. Maafkan daku adik-adik Jakse dan Jaksi ya! Moga segala perancangan kalian diberkati dan dipermudahkan olehNya. Terus berbakti untuk rakan-rakan kalian ya!

Terima kasih semua atas bantuan dan perkongsian yang sementara itu. Aku akan pulang semula...
Suara kecil itu
| More

Suara kecil itu..
Teresak-esak menahan sakit..
Akibat luka dan perit..
Angkara kekejaman manusia sepertinya..

Suara kecil itu..
Teresak-esak mencari..
Di mana ibunya..Di mana ayahnya..
Hilang dek letusan demi letusan menakutkan..

Suara kecil itu..
Teresak-esak melihat..
Sedikit demi sedikit bumi dipijak lunyai..
Dibedil dan ditembusi tiap butir peluru tanpa hala tuju..

Suara kecil itu..
Teresak-esak mengharap..
Akan wujud sinar untuknya..
Akan hadirnya titipan dari saudara-saudaranya yang jauh..

Suara kecil itu..
Teresak-esak merasa..
Tiada lagi masa depan yang cerah untuknya..
Semuanya kian suram luput segalanya..

Tiada lagi kedengaran rintihan dari suara kecil itu..


.:aku terkenang dan mengenang nasib anak kecil itu:.
-enbudak Januari 2009-

Fokus
| More
Terlalu banyak untuk dibicarakan. Pelbagai isu wujud di kotak fikiran. Semuanya bersaing untuk mendominasi ruang yang ada. Aduh! Aku sukar fokus ketika ini. Bergelumang dengan setiap isu melelahkan aku. Banyaknya bilangan mereka. Menewaskan aku yang sendirian.
Tidurlah...
| More
Aku perlu tidur. Setelah meneguk ubat mengikut preskripsi doktor di awal Maghrib aku masih belum tidur. Sudah masuk dos kedua aku ambil. Semoga aku dapat tidur. Pastinya mata mampu tertutup. Namun, fikiran masih belum. Masih ligat berputar menerobos segenap lapisan yang mampu ditembusi. Ayuh, tidurlah! Biarkan yang lain sebentar. Kita sambung esok ya! Moga ada hari esok untukku..
Senarai Untuk-Dibuat (Januari 2009)
| More
Selesai tanggungjawab yang wajib dan sunat untuk-Nya, aku mencari-cari sumber untuk aku hilangkan risau di hati. Risau terhadap diri, juga merujuk kepada risau terhadap Cik Lisa itu. Aduh, Cik Lisa yang kini sudah berusia 3 tahun 6 bulan sudah mula menunjukkan tanda-tanda rajuk bila tidak dimanja dan dibelai. Maaf ya Cik Lisa.

Makanya, aku perlu mewujudkan senarai untuk-dibuat. Senarai yang pastinya bakal memerlukan pengaliran wang yang bukan sedikit. Aduh sekali lagi. Berbalik kepada senarai untuk-dibuat bulan ini.

  1. Bateri baru untuk Cik Lisa (Cik Lisa sudah susah untuk bernafas..aduh!)
  2. Mahu tukar ke pascabayar (Maxis Value Plus.. :) )
  3. Pulang ke kampung, uruskan Encik Restoran (sudah mahu dibuka! Ayuh!..)
  4. Hadir ke program adik-adik Jaksa (teruskan usaha dan semangat murni kalian ya!)
  5. Uruskan akaun TM fixed line (semua dah guna telefon bimbit, mungkin dipindahkan ke kedai..)
  6. Siapkan laporan kajian penyelidikan untuk 3 semester (Aduh, susah ni..)
  7. Siapkan dokumen-dokumen berkaitan Encik Restoran (banyak juga ni..)
Hmm..banyak juga senarai untuk-dibuat bulan ni. Perlu ada perancangan yang rapi lagaknya. Ayuh En Kid, berusahalah!
Dua Ribu Sembilan
| More
Sepantas mungkin masa berlalu meninggalkan kenangan di angin lalu. Aku kini sudah di tahun baru. Pastinya azam aku di tahun lepas seperti belum tertunai kerna aku rasakan sudah kurang kewajaran untuk mengejar azam itu. Maka, di tahun ini aku berhasrat untuk mewujudkan sesuatu yang lebih realistik dan lebih tercapai dek kudrat yang ada.
:)

Dua ribu lapan yang berlalu seolah-olah bagai satu kelipan mata bila ditutup aku hilang darinya dan bila dibuka ianya sudah tiada. Terlalu banyak yang berlalu di kala aku menutup mata itu. Aku hilang hampir segalanya namun, aku masih punya iman di dada dan sayang mereka padaku. Alhamdulillah, sembah syukurku pada-Mu. Aku yang sentiasa meninggalkan-Mu walau tiada sedetik Kau meninggalkanku.

Kini, aku mengorak langkah, mengurangkan ruang berfikir dan mewujudkan tekad yang satu untuk meneruskan fungsi hidupku. Membuat keputusan yang aku rasakan sukar namun harus ditempuh walau sesakit mana pun ianya bakal menyusul. Itulah keputusan aku. Aku dan mereka harus terima. Terima seadanya dan sedayanya.

Dua ribu sembilan bakal menerbitkan nada dan irama kehidupanku dalam bentuk yang lain dan aku pasti ianya bakal bercampur harmonis dan kacau. Semoga segalanya baik-baik sahaja. Insya Allah...